Friday, February 17, 2017

Empat Perpuluhan Kosong Satu Kilogram (bab satu)

TANDA DI HENING PAGI

          "Abang... Abangg... Abanggg".

Suara itu menjengah ruangan mimpi aku. Mula-mula sayup. Makin lama makin kuat hingga memaksa aku terjaga dari tidur.
Oh. Anis yang menyahut aku.

Walaupun dalam keadaan mamai atau separa sedar, aku sedar yang mana bangkitnya aku dari tidur ini adalah terlalu awal dari biasa.

Peliknya, Anis hanya baring menegak ketika memanggil aku. Walhal, Anis baring disebelahku. Bukannya memanggil aku sambil menggoyangkan badanku seperti biasa.

Ketika itu, fikiranku tertanya tanya.

          "Inikah masanya?".
Gulp.

          "Bang. Buka lampu bang. Buka lampu".

Dalam kepala aku terus memikirkan tentang kandungan Anis. Dengan rasa risau campur khuatir, aku terus membuka lampu. Bilik yang samar pada awalnya menjadi cerah dalam beberapa saat.

Aku sempat on kan iphone Anis yang berada di dalam troli Ikea yang kami beli 2 minggu lepas. Baru jam 4.45 pagi. Patutlah aku rasa Anis kejut aku terlalu awal nak ke kerja.

Aku lihat Anis masih berbaring kaku. Seperti tiada pergerakan sejak Anis mengejutkan aku. Matanya hanya memandang ke kakinya.

          "Bang. Cuba tengok. Sayang rasa basah". Pinta Anis.

Dalam seram-seram sejuk, dalam kerisauan, dalam tertanya tanya, aku periksa. Seperti mana doktor-doktor di wad bersalin, seperti itu aku bergaya seperti Dr Aizat.

Ya.
Ada darah dan sedikit kelembapan.
Aku menarik nafas dalam. Apa perlu aku buat ketika ini.

          "Panggil mak, bang". Sekali lagi Anis bersuara.

Ya. Panggil mak. Aku terus keluar bilik mencari mak. Mujur mak berada di dapur. Kalau mak masih berada dalam biliknya, sedikit kekok aku nak mengetuk biliknya.

Mak masuk ke bilik kami. Kali ini, Dr Mariah pula mengambil alih tempat Dr Aizat yang tak beberapa nak pakar dalam menguruskan hal ehwal pakar sakit puan.

          "Pergi mandi. Siap cepat. Ke hospital." Itulah arahan yang dikeluarkan oleh Dr Mariah. Ringkas dan mendebarkan.

Jantung aku yang pada awalnya masih lena dibuai mimpi terus tersentak bangun dan mula berdegup laju.

Aku capai tuala dan memimpin Anis ke bilik air.
Pelan-pelan aku memimpinnya. Risau kalau-kalau Anis jatuh secara tiba-tiba.

Semasa di dalam bilik air, beberapa perkara bermain-main dalam fikiran aku.

Ayah Ejart. Baba Ejart. Papa Ejart.
Fuhh.

Selesai aktiviti membersihkan diri, sekali lagi aku memimpinnya ke bilik kami. Dalam fikiran aku, aku masih tak percaya lagi. Cepatnya masa berlalu. Andai mengikut perkiraan aku, paling lewat, esok aku akan bergelar bapak budak.

Bapak budak.

Aku memerhatikan Anis memakai baju. Biasanya pun, aku tidak membantu dalam pemilihan baju yang dipakai Anis. Jadi, aku ambil keputusan untuk tidak mengganggunya.

          "Sayang. Abang ambil beg baju dalam kereta, ya."

          "Kenapa?"
         
          "Abang nak cek samada cukup atau tidak barangan yang nak dibawa ke hospital."

Padahal, aku memang lupa apa yang ada dalam beg baju ke hospital tu. Buatnya Dr minta baju baby, aku kasi benda lain pula.

Ini dah lah firsttime aku nak jadi bapak budak.
Bukan perkara main-main.
Bukan macam main Barbie Doll tu. Tukarkan baju, suapkan makan.
Ini betul-betul. Bukan cobaan.

          "Abang boleh kan tak payah solat Jumaat?".

Ha'a. Baru aku tersedar. Hari ini hari Jumaat.

          "Hmmmm tak pastilah. Kira macam ponteng la kot".

          "Abang kalau nak pergi solat Jumaat, pergi pukul 1 tau. Yela buatnya sayang nak bersalin nanti, macam mana?"

Aku menganggukkan kepala tanda setuju.

0 comments: